Industri kerang tempatan dijangka jana RM34.4 juta setahun - Hajiji

  

GIMIK... Hajiji (dua dari kiri) menyempurnakan gimik perasmian Pelancaran Projek Pembangunan Industri dan Sumber Kerang Sabah.

TUARAN: Industri kerang tempatan di bawah Kerajaan Negeri dijangka mampu menjana pendapatan sehingga RM34.4 juta setahun.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata anggaran itu berdasarkan jangkaan pendaratan sebanyak 3,240 metrik tan setahun dengan pulangan pelaburan mencecah 7.6 kali ganda sekaligus menjadi langkah strategik  memperkasa ekonomi biru negeri ini.

"Projek ini akan membuka peluang eksport baharu bagi hasil kerang Sabah melalui aktiviti hiliran seperti pengetinan, sambal kerang dan produk makanan berasaskan kerang darah.

“Bagi sektor swasta, inilah masa terbaik untuk melabur dalam pemprosesan hasil laut, pembungkusan lestari dan pembinaan rantaian eksport Sabah. 

"Peluang ini bukan sahaja menguntungkan, malah membina masa depan yang mampan,” katanya semasa merasmikan Majlis Pelancaran Projek Pembangunan Industri dan Sumber Kerang Sabah, di sini pada Sabtu.

Menurut Hajiji, Kerajaan Sabah komited untuk mengorak langkah dalam penerokaan khazanah laut dan maritim sebagai sebahagian daripada usaha mengukuhkan kedudukan negeri ini dalam penerokaan Ekonomi Biru di peringkat antarabangsa.

”Ekonomi Biru bukan saja berupaya menyeimbangkan kemakmuran dengan kelestarian, malah menjelang tahun 2030, nilai ekonomi biru global dijangka mencapai USD3 trilion.

Projek Pembangunan Industri dan Sumber Kerang Sabah itu merupakan kerjasama antara Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA), Jabatan Perikanan Malaysia dan Jabatan Perikanan Sabah, dan dilaksanakan dalam dua fasa.

"Fasa pertama yang telah pun selesai melibatkan kajian pemetaan dan eksplorasi sumber kerang darah (Tegillarca granosa) dari Oktober 2024 hingga Mei 2025 di enam lokasi berpotensi, termasuk Tuaran dan Beluran yang menjadi tapak projek rintis.

"Fasa kedua pula dijadualkan bermula pada tahun 2026, melibatkan pemindahan teknologi dan pelaksanaan sebenar projek di lapangan,"jelasnya.

Hajiji berkata sejumlah 77 lot penternakan telah dikenal pasti, merangkumi 12 lot di Tuaran dan 65 lot di Beluran, meliputi kawasan seluas 1,617 hektar.

"Setiap lot akan diusahakan oleh 10 Ketua Isi Rumah (KIR), menjadikan jumlah keseluruhan seramai 770 KIR sebagai penerima manfaat utama, terdiri daripada pengusaha perikanan, komuniti luar bandar dan golongan B40.

"Malah, jika hanya 40 peratus daripada lot ini beroperasi secara optimum, peserta masih mampu menjana pendapatan bulanan sekitar RM4,800 hingga RM6,500.

“Sudah tentu komuniti yang terlibat akan memperoleh pendapatan mampan melalui ternakan kerang darah. Golongan belia juga akan dilatih dengan kemahiran akuakultur moden, melahirkan generasi baharu usahawan laut Sabah.

“Sesungguhnya, projek ini bukan sahaja membawa perubahan besar kepada rakyat, khususnya komuniti yang terlibat, tetapi juga kepada alam sekitar dan ekonomi negeri.

“Sabah akan dibangunkan sebagai Hab Makanan Laut Biru ASEAN, setanding dengan negeri-negeri pengeluar utama seperti Perak, Pulau Pinang dan Selangor,” ujarnya.

Hajiji turut memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri akan memberi sokongan padu kepada industri ini melalui penyediaan latihan berterusan serta pemerkasaan teknologi moden.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pembantu Menteri II Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Peto Galim, Pembantu Menteri Luar Bandar Datuk Samad Jambri, Ketua Eksekutif SEDIA Datuk Seri Panglima Hashim Paijan, Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Datuk Mohd Sofian Alfian Nair dan Ketua Pegawai Sekretariat Sabah Maju Jaya Datuk Rosmadi Datu Sulai.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama