Sabah wartakan tanah dua ekar di Darau, tempatkan semula enam keluarga Kampung Nelayan 1

Ketibaan Ketua Menteri di DUN Sabah bagi Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Yang Keenam Belas Negeri Sabah, hari ini. (Ihsan: JAPEN Sabah).

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri telah mewartakan secara tanah seluas dua ekar di Darau secara rasmi bagi menempatkan semula enam keluarga dari Kampung Nelayan 1, Likas yang terjejas akibat perobohan rumah oleh Rimdaya Sdn Bhd.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata pengambilan tanah tersebut dilakukan mengikut peruntukan Seksyen 3, Ordinan Pengambilan Tanah Bab 69 dan telah diwartakan menerusi Warta Kerajaan di bawah Gazette Number G.N.210/2025 bertarikh 5 Jun serta disiarkan semula pada 12 Jun tahun ini. 

“Untuk makluman, pengambilan tanah ini adalah di bawah milik MLGH Sabah Sdn Bhd dan bukannya Rimdaya Sdn Bhd," katanya. 

Beliau berkata demikian bagi menjawab  soalan yang dikemukakan oleh Azhar Datuk Matussin (Darau-WARISAN) ketika persidangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata surat kebenaran masuk ke tapak tanah telah dikemukakan kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk tindakan lanjut.

Selain itu, katanya surat tawaran pampasan kepada pihak MLGH Sabah Sdn Bhd telah dihantar pada 30 Jun lepas. 

“Ini bererti enam keluarga yang terjejas sebelum ini boleh ditempatkan di sebahagian kawasan yang berkeluasan dua ekar tersebut untuk tujuan penempatan,” tambahnya. 

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa DBKK kini sedang menyediakan pelan tata atur penempatan dan penduduk boleh mula memasuki kawasan itu bila-bila masa selepas pelan tersebut dimuktamadkan.

“Terpulang kepada Dewan Bandaraya dan penduduk kampung untuk bersedia memasuki kawasan tersebut pada bila-bila masa,” jelasnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama