Gagal sorok 125,000 batang rokok seludup

 

KUNAK: Taktik licik seorang lelaki tempatan menyeludup rokok tidak bercukai tumpas selepas kenderaannya dipintas Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam operasi di kawasan Kunak Jaya, di sini, semalam.

Lelaki terbabit ditahan sepasukan anggota dari Batalion 22 PGA Kunak menerusi Operasi Bersepadu Intra/Inter-Op Taring Alpha 1, hasil risikan bersama Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak.

Komander PGA Sabah, Datuk Abdul Rani Alias, berkata pemeriksaan ke atas kenderaan suspek menemui beberapa kotak berisi rokok dipercayai tidak bercukai yang disembunyikan di dalam kenderaan berkenaan.

“Antara yang dirampas termasuk 95,000 batang rokok putih dan 30,000 batang rokok kretek. 

“Turut disita, sebuah kenderaan yang digunakan untuk kegiatan pengedaran barangan seludup,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan melebihi RM218,000 membabitkan rokok dan kenderaan.

“Siasatan awal mendapati lelaki terbabit dipercayai mendapatkan bekalan rokok itu dari Tawau untuk diedarkan di sekitar daerah ini.

“Suspek dan barang rampasan diserahkan kepada IPD Kunak untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Abdul Rani berkata, kejayaan ini membuktikan komitmen PGA Briged Sabah dalam membanteras kegiatan penyeludupan terutama di kawasan berisiko tinggi berhampiran sempadan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama