George Abd Rakman rasmi terajui IPD Sandakan

Datuk Jauteh Dikun (tengah) menyaksikan pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintenden K Ramasamy (kiri) menyerahkan dokumen serah terima tugas kepada Ketua Polis Daerah yang baharu, George Abd Rakman, di IPD Sandakan, hari ini.

SANDAKAN: Bekas Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Asisten Komisioner George Abd Rakman, kini secara rasmi dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Sandakan yang baharu.

Beliau mengambil alih tugas daripada Asisten Komisioner Ahsmon Bajah yang berpindah ke IPK Sabah.

Majlis serah terima tugas berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan hari ini, dengan disaksikan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.

Dalam ucapannya, George melahirkan rasa teruja untuk kembali berkhidmat di Sandakan selepas kali terakhir bertugas di daerah ini pada tahun 2010.

"Saya mengharapkan kerjasama penuh daripada semua anggota untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

"Kita perlu berfungsi sebagai satu pasukan yang kuat, sentiasa terbuka untuk menerima inovasi baharu serta mengekalkan integriti dalam setiap tugas," katanya.

Menurutnya, aspek integriti bukan sahaja penting untuk menjaga imej pasukan, malah menjadi tunjang utama kepada kesejahteraan dan kemajuan daerah Sandakan.

George turut berikrar untuk terus menyumbang kepada pembangunan masyarakat di daerah ini sepanjang tempoh memegang jawatan tersebut.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama