![]() |
Arifin (Tengah), bersama Masidi Majnun(Kanan) dalam Dewan Undangan Negeri Sabah, hari ini. (Ihsan: KSTI Sabah) |
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri telah melaksanakan 13 inisiatif bantuan pendidikan di bawah program Pendidikan Sabah Maju Jaya (SMJ), menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.
Katanya, inisiatif yang menyasarkan pelbagai lapisan penerima manfaat ini diagihkan secara berperingkat dilaksanakan oleh Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas).
“13 inisiatif bantuan pendidikan adalah seperti Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One-Off (BUDI), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), Bantuan Ihsan Komputer Kepada Pelajar (BAIK), Bantuan Aktiviti Guru dan Ibubapa Sabah (BAGUS) dan Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH),” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Amisah Yassin dalam persidangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Arifin turut menambah bahawa inisiatif bantuan lain seperti Anugerah Khas Kecemerlangan Pendidikan (AKSA) Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Sabah (BISTARI), Bantuan Khas Pendidikan (BANTU), Bantuan Penyelenggaraan Kecil Sekolah (BALKIS), Bantuan Sekretariat Mahasiswa Sabah (SEMESTA), Bantuan Subsidi Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (GRS-SUBFLY) dan Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA) serta Sumbangan Kegiatan Sekolah Secara One Off (SUKSES) turut dilaksanakan.
Sementara itu, beliau turut menjelaskan seramai 146 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) seluruh Sabah menerima anugerah khas berbentuk wang tunai sebanyak RM1,000.
Menurutnya, ia merupakan tanda penghargaan daripada pihaknya atas kecemerlangan akademik mereka dalam peperiksaan tersebut, baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau turut menjawab soalan tambahan ADUN Lamag, Datuk Seri Bung Moktar Radin sekiranya kerajaan negeri berhasrat untuk menyediakan pendidikan tinggi percuma seperti yang dilaksanakan kerajaan Sarawak.
Walau bagaimanapun, Arifin menjelaskan bahawa perkara tersebut sedang dikaji secara menyeluruh.
“Bagi pendidikan sekolah rendah dan menengah, memang sudah percuma.
"Manakala, bagi pendidikan tinggi, memang ada sebahagian besar program sedia ada yang sudah dibiayai sepenuhnya, contohnya di bawah Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) melalui program ILTP bertaraf diploma,” tambahnya.