KOTA KINABALU: Dua jalan raya baharu yang menghubungkan Sabah - Kalimantan dicadangkan untuk dibina sebagai langkah bagi mempertingkatkan lagi laluan dua wilayah itu
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, projek pertama melibatkan pembinaan jalan baharu dari Kalabakan ke sempadan Malaysia–Indonesia di Simanggaris.
“Projek ini merangkumi pembinaan jalan sepanjang 28 kilometer yang akan menghubungkan Jalan Sapulut–Kalabakan hingga ke sempadan Simanggaris.
“Selain itu, turut dicadangkan pembinaan satu jalan spur sejauh 20 kilometer ke Kampung Serudong Laut,” katanya.
Beliau memaklumkan, kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya Malaysia sudahpun meluluskan Kajian Awalan dan Rekabentuk bagi projek tersebut di bawah Rolling Plan 3, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).
“Ketika ini, kerja-kerja lapangan seperti ukur tanah, pemetaan utiliti dan siasatan tanah sedang dilaksanakan bagi mengumpul data sebelum projek dimuktamadkan,” jelasnya.
Dalam masa sama, Shahelmey turut memaklumkan, satu lagi laluan baharu dari Pekan Pagalungan ke Pekan Sempadan Bantul di Pensiangan juga sudah diluluskan.
Projek berkenaan diluluskan di bawah Program Jalan Luar Bandar (JALB) yang dibiayai Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi Rolling Plan 3, RMKe-12.
“Sekarang ini, projek itu sudah memasuki fasa perolehan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Sindumin semasa persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah baru-baru ini, berhubung status projek jalan Sabah-Kalimantan susulan pemindahan Ibu Negara Indonesia ke Nusantara.