KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merakam keterangan daripada 60 saksi dalam siasatan kes seorang pelajar asrama, Zara Qairina yang dijumpai jatuh dari bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha yang tular baru-baru ini, kini berada di peringkat akhir.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, kertas siasatan kes itu telah dihantar ke Bukit Aman untuk pemerhatian dan penelitian menyeluruh sebelum dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.
Katanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan wujudnya unsur buli dalam kes tersebut dan siasatan terperinci diserahkan sepenuhnya kepada Bukit Aman.
“Buat masa ini, kita serahkan kepada pihak Bukit Aman sebagai pihak yang lebih tinggi dalam PDRM dan mempunyai kepakaran bagi memberikan pandangan lanjut berkaitan kes ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Pahlawan bertempat di Lobby Utama Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa kesemua saksi yang diambil kenyataannya terdiri daripada pelajar, ibu bapa serta kakitangan sekolah.
“Pelajar-pelajar ini dalam keadaan trauma, jadi pihak siasatan turut dibantu oleh pakar kaunseling untuk memastikan mereka dapat memberi keterangan dengan baik.
“Kita mahu siasatan ini dibuat secara adil dan profesional,” ujarnya.
Sementara itu, beliau menegaskan bahawa berhubung dengan dakwaan terdapat ada anak kenamaan, termasuk anaknya sendiri, yang bersekolah di sana adalah tidak benar.
Kata Jauteh, perkara itu hanyalah spekulasi tidak bermanfaat yang ditimbulkan oleh netizen.
“Saya nyatakan di sini bahawa tidak pernah ada anak saya yang bersekolah di sekolah ini.
“Ini hanyalah khabar angin yang sengaja disebarkan oleh netizen bagi mencetuskan persepsi tidak sihat tentang kes tersebut,” tegasnya.