Kes Zara Qairina: Istana Seri Kinabalu nafi keluarga TYT terlibat


KOTA KINABALU: Istana Seri Kinabalu menafikan dakwaan ahli keluarga Yang di Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman terlibat dalam kes kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir yang tular di laman media sosial, baru-baru ini.

Setiausaha Perhubungan kepada Yang di Pertua Negeri Sabah, Datuk Abdulah Hussin berkata dakwaan tersebut adalah tidak berasas, tidak bertanggungjawab serta bersifat fitnah.

Susulan itu, pihaknya meminta orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih dan berbaur fitnah.

"Difahamkan, kertas siasatan telah dihantar oleh Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Kontinjen Sabah ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk diperhalusi sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

"Penyebaran maklumat palsu boleh dikenakan tindakan dibawah undang-undang sedia ada termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Sebarang perkembangan berkaitan siasatan hendaklah dirujuk kepada pihak polis atau kepada Kementerian Pendidikan Malaysia bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham orang awam," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama