Wanita warga Indonesia dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan miliki dadah

Wanita warga Indonesia dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan memiliki 34.14 gram dadah, dua tahun lalu.


TAWAU : Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepaskan dan membebaskan seorang wanita warga Indonesia daripada pertuduhan memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 34.14 gram, dua tahun lalu.

Hakim Ahmad Faizadh Yahaya, membuat keputusan itu terhadap Rizki Abu, 45, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Dalam penghakimannya, beliau berkata terdapat keraguan munasabah berhubung pemilikan dadah tersebut selain kegagalan siasatan lanjut untuk mencari pemilik sebenar bahan terlarang itu sekaligus menimbulkan keraguan.

Selain itu katanya, bukti dan peranan seorang individu dikenali sebagai 'Hendrix' bukan sesuatu yang direka kerana terdapat komunikasi jelas di dalam telefon bimbit menunjukkan bahawa dadah bukan milik tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Rizki yang juga ibu kepada tiga anak itu didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 34.14 gram di hadapan bangunan sebuah syarikat bas ekpres dekat Jalan Tiku, di sini, pada jam 2 petang, 6 Mac 2023.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau

tidak kurang lima tahun dan juga dikenakan hukuman sebat tidak kurang sepuluh sebatan jika sabit kesalahan.

Sepanjang perbicaraan, pendakwaan memanggil lima saksi manakala pihak pembelaan memanggil seorang saksi iaitu tertuduh sendiri.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Haikal Hazwan Md Yatin manakala Peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin mewakili tertuduh.





Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama