Pemandu Hilux serah diri, kes langgar lari di Tawau selesai


TAWAU : Polis berjaya menyelesaikan kes langgar lari yang menyebabkan seorang lelaki cedera ketika berjoging di Batu 3, Jalan Apas, selepas suspek tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau petang tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek berusia 29 tahun yang juga pemandu lori hadir ke IPD Tawau pada jam 4.05 petang, dua hari selepas kejadian berlaku.

“Siasatan awal mendapati suspek mengaku memandu kenderaan jenis Toyota Hilux berwarna ‘bronze mica’ dari pusat bandar ke Kunak semasa kejadian awal pagi Sabtu lalu.

“Suspek mendakwa tidak menyedari telah melanggar mangsa dan berpatah balik ke lokasi kejadian beberapa minit kemudian namun tidak melihat sesiapa, sebelum meneruskan perjalanan tanpa membuat laporan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jasmin berkata, siasatan lanjut turut mendedahkan kenderaan terbabit tidak mempunyai cukai jalan dan perlindungan insurans yang sah.

Tambahnya, suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan serta Seksyen 52(2) akta sama kerana gagal melaporkan kemalangan dalam tempoh ditetapkan.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 pagi Sabtu lalu, mangsa berusia 34 tahun dirempuh dari arah belakang oleh sebuah pacuan empat roda ketika sedang berjoging bersama kira-kira 20 rakan dari sebuah restoran makanan segera menuju ke Bandar Seri Indah.

Mangsa yang ketika itu berada di hadapan kumpulan larian bersama dua rakan lain tercampak ke dalam parit konkrit di bahu jalan akibat rempuhan dan mengalami kecederaan di bahagian kepala.

Mangsa kini dirawat di Wad Pembedahan, Hospital Besar Tawau dan dilaporkan dalam keadaan stabil.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama