PITAS: Seramai lebih 2,000 pelajar dari tujuh buah sekolah di sini menerima bantuan kewangan berbentuk pembayaran tanpa tunai (cashless) bagi pembelian makanan dan alat tulis di kantin serta koperasi sekolah.
Menteri Kewangan Sabah merangkap Pengerusi SMJ Energy, Datuk Seri Masidi Manjun berkata ia merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) baharu oleh pihaknya dengan kerjasama Yayasan MyKasih.
“Program ini mencerminkan komitmen SMJ Energy untuk memastikan manfaat hasil industriminyak dan gas Sabah disalurkan semula kepada rakyat, khususnya anak-anak kita yang merupakan masa depan negeri ini.
“Jika sedikit bantuan ini mampu mengubah haluan hidup seorang pelajar, maka ia merupakan satu pelaburan yang sangat besar nilainya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam satu majlis bertempat di SMK Kanibungan, di sini, hari ini.
Disamping menyatakan program terbabit melibatkan tiga buah sekolah menengah dan empat buah sekolah rendah, beliau menjelaskan kaedah pemberian bantuan berbentuk bantuan tanpa tunai dapat menjamin ia terus disalurkan kepada murid serta pelajar.
Dalam pada itu, Masidi turut menekankan bahawa Pitas adalah antara daerah yang menghadapi cabaran sosio ekonomi paling besar di Sabah.
Oleh itu, pelajar dan murid berhak diberi peluang yang sama tanpa mengira latar belakang mereka.
Yayasan MyKasih pula memainkan peranan penting dalam pelaksanaan program ini,termasuk memantau dan menyediakan laporan impak berkala.
“Inisiatif ini melengkapi usaha berterusan pihak sekolah, pegawai pendidikan dan organisasi tempatan di Pitas.
"Kami sedar bahawa memajukan pendidikan luar bandar memerlukan kerjasama pelbagai pihak,” katanya.