BELURAN: Seorang wanita maut selepas ditemui rentung dalam kebakaran membabitkan sebuah kedai runcit di Kampung Nangoh, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 pagi itu, suami mangsa turut cedera selepas melecur pada beberapa bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Hasan Majid berkata, siasatan awal mendapati kebakaran berpunca dari premis berkenaan yang turut menjual petrol dan menyimpan bahan mudah terbakar.
Katanya, kebakaran dipercayai bermula dari dalam bangunan papan berkenaan sebelum merebak dengan pantas ke seluruh struktur premis.
“Mangsa wanita berusia 58 tahun ditemui rentung di lokasi kejadian dan disahkan meninggal dunia.
“Suaminya berusia 60 tahun pula melecur kira-kira 46 peratus membabitkan bahagian muka serta tangan dan kini menerima rawatan di hospital,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sandakan untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Hasan berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Dalam masa sama, beliau menasihatkan semua pemilik premis, terutama yang menyimpan bahan mudah terbakar, agar lebih berwaspada dan mematuhi prosedur keselamatan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.