JAKIM santuni Asnaf Taman Mawar menerusi Program Ziarah Kasih

Edaran bahan penerbitan JAPEN turut diadakan semasa jualan rahmah berlangsung.

SANDAKAN: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyantuni lima individu asnaf termasuk ibu tunggal, muallaf dan warga emas yang menghidap penyakit kronik menerusi Program Ziarah Kasih di Taman Mawar.

Penolong Pengarah Kanan JAKIM, Noordianah Alwi, berkata program itu dilaksanakan sempena Program Ukhuwah MADANI anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) dan bertujuan menyampaikan sumbangan dan keprihatinan kepada golongan kurang berkemampuan.

“Melalui Program Ziarah Kasih, kita menyantuni lima asnaf iaitu tiga ibu tunggal, seorang muallaf dan seorang warga emas yang menghidap penyakit kronik.

“Pada masa sama, JAPEN bersama agensi lain turut mengedarkan risalah berkaitan dasar kerajaan serta perkhidmatan yang ditawarkan pelbagai agensi terlibat,” katanya ketika ditemui pada Program Ukhuwah Komuniti MADANI di Masjid Nururrahman, Taman Mawar, pada Khamis.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat dalam program berkenaan dan berharap kerjasama itu dapat diteruskan bagi memastikan dasar kerajaan disampaikan secara meluas kepada rakyat.

"Terima kasih kepada agensi-agensi terlibat dan diharapkan agar kolaborasi ini terus diperkukuh bagi memastikan dasar dan inisiatif kerajaan dapat disebarluaskan kepada rakyat memandangkan kita masih ada 14 program lagi untuk dilaksanakan, " ujarnya.

Dalam program sama, turut diadakan Karnival Jualan Rahmah anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi membantu orang ramai mendapatkan barangan keperluan harian pada harga lebih rendah.

Pengunjung, Lorena S Abidin,40, menyatakan penghargaan kepada kerajaan atas penganjuran program membolehkan beliau membeli barang keperluan harian pada harga yang lebih murah berbanding harga di pasaran luar.

"Saya sangat berterima kasih kepada kerajaan atas inisiatif Jualan Rahmah kerana jelas membantu golongan B40 yang memerlukan bantuan, ia sangat membantu kami yang mempunyai tanggungan yang besar serta anak yang ramai.

"Saya mengharapkan agar inisiatif ini diteruskan dengan perluasan jenis barangan yang boleh dibeli pada Jualan Rahmah di masa hadapan kerana saya lihat ia terus meraih sambutan dan penghargaan masyarakat setempat dan dilihat bertepatan dengan keperluan rakyat yang berhadapan dengan cabaran peningkatan harga barangan keperluan asas," katanya.

(JABZTAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama