Wanita mengamuk bawa parang di tengah bandar ditahan


TAWAU: Seorang wanita mencetuskan kekecohan apabila mengamuk sambil membawa parang di hadapan sebuah premis perniagaan di kawasan bandar, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, suspek berusia 39 tahun dilaporkan memegang sebilah parang dalam keadaan mencurigakan sambil memandu kereta, menyebabkan orang awam panik dan ketakutan.

Tindakan pantas anggota rondaan bit dari Balai Polis Tawau berjaya mengawal keadaan sebelum perkara lebih buruk berlaku. Suspek berjaya ditahan di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, anggota mendapati wanita terbabit sedang memegang parang lalu bertindak menahannya dan merampas senjata berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut ke atas keretanya turut menemui sebilah kapak yang disembunyikan dalam bonet,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, semua barangan termasuk parang, kapak dan kenderaan digunakan suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut.

“Siasatan masih diteruskan termasuk mengenal pasti motif sebenar wanita itu bertindak sedemikian. Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama