Mobiliti sosial jadi fokus ANSARA KK - Farid

Farid (tiga dari kanan) semasa berucap dalam Mesyuarat Agung Tahunan ANSARA KK 2025.

KOTA KINABALU: Persatuan bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kota Kinabalu (ANSARA KK) akan memfokuskan aktiviti mobiliti sosial khususnya dalam bidang pendidikan.

Ketua Cawangan ANSARA KK Ahmad Farid Sainuri berkata persatuan yang telah didaftarkan secara rasmi pada tahun 2018 itu akan menambah program berbentuk khidmat masyarakat dengan memberi fokus kepada akses pendidikan berkualiti tinggi.

"Visi kepimpinan baharu ANSARA KK akan memberi tumpuan kepada aspek mobiliti sosial, khususnya dalam menyediakan peluang pendidikan menengah berkualiti tinggi kepada anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah.

“ANSARA KK harus berperanan sebagai jambatan untuk memastikan akses saksama kepada pendidikan berkualiti seperti MRSM dan sekolah berprestasi tinggi, agar anak-anak daripada latar belakang kurang berkemampuan turut berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan seterusnya mengubah nasib keluarga mereka,” ujar beliau.

“Sebahagian besar ahli ANSARA Kota Kinabalu terdiri daripada golongan profesional, oleh itu perhatian terhadap keselamatan sosial dan kesihatan pekerjaan amat penting bagi memastikan mereka terus produktif dan menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara,” tambah beliau semasa berucap dalam Mesyuarat Agung Tahunan ANSARA KK di salah sebuah hotel terkemuka pada Sabtu.

Farid yang dilantik menjadi Ketua Cawangan bagi sesi 2025-2027 menggantikan Dr. Asrih Mohammad Arif turut menyatakan penghargaan atas sumbangan cemerlang barisan kepimpinan terdahulu dan menzahirkan komitmen untuk meneruskan agenda pemerkasaan ahli.

Turut dilantik dalam mesyuarat tersebut Naib Ketua Cawangan Dr Hafifi Hafidz Horace, bendahari Mohammad Hanif Hassanel serta lima ahli jawatankuasa yang akan membantu persatuan tersebut terus memainkan peranan penting dalam memupuk jaringan alumni yang berdaya saing dan berorientasikan khidmat masyarakat.

ANSARA Kota Kinabalu yang kini mempunyai potensi keahlian melebihi 2300 orang ahli, merupakan sebuah pertubuhan yang giat melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memperkasa ahli serta memberi impak kepada komuniti setempat.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama