TAWAU: Seorang lelaki sanggup bertindak kejam apabila memukul bapanya sendiri menggunakan sebatang kayu dalam kejadian di Kampung Pitas, Bombalai, di sini, kelmarin pagi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 pagi itu, mangsa berusia lingkungan 60-an parah di bahagian muka dan kepala selepas dipukul tanpa sebarang sebab oleh suspek yang juga anak kandungnya berusia 23 tahun.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, susulan laporan diterima, sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai digerakkan ke lokasi dan berjaya menahan suspek kurang dua jam kemudian.
"Ketika ditahan di kawasan perumahan pekerja berhampiran lokasi kejadian, suspek bertindak agresif dan cuba melarikan diri namun berjaya diberkas selepas berlaku sedikit pergelutan.
"Pemeriksaan lanjut mendapati lelaki itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jasmin berkata, suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 323/326A Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar lebih peka terhadap kesihatan mental dan kawalan emosi dalam keluarga, selain menyelesaikan sebarang konflik secara matang bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.