UMNO kini akur realiti politik Sabah, usaha jalin kerjasama dengan GRS


KOTA KINABALU: Kesediaan UMNO Sabah untuk menjalin kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) secara tidak langsung memperlihatkan parti itu akur dengan realiti landskap politik Sabah yang telah berubah.

Memetik sumber Free Malaysia Today, perkembangan terbabit juga disifatkan perkembangan yang berkemungkinan menandakan pengaruh Barisan Nasional (BN) semakin lemah di negeri ini.

Media pada Selasa lepas melaporkan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata pihaknya terbuka untuk bekerjasama dengan GRS pada PRN17 sekiranya gabungan terbabit ‘ikhlas’ dalam soal rundingan agihan kerusi.

Kenyataan terbaru Pengerusi BN Sabah itu turut dilihat bertentangan dengan pendiriannya sebelum ini dimana beliau dilaporkan pihak UMNO Sabah hanya akan mempertimbangkan mengenai jalinan kerjasama selepas pilihan raya.

Susulan perkembangan itu, penganalisis, Bilcher Bala berkata perubahan terbabit merupakan sebuah “respons pragmatik” terhadap perubahan landskap politik di negeri Sabah di mana GRS muncul sebagai kuasa dominan.

“Pada masa sama, ia juga mungkin menandakan pengaruh BN semakin lemah di Sabah, memaksa UMNO mempertimbangkan kerjasama yang ia ketepikan sebelum ini,” katanya.

Katanya, perubahan sikap UMNO daripada penolakan secara terang-terangan kepada keterbukaan untuk kerjasama, mencadangkan penyesuaian strategi disebabkan oleh ketidakseimbangan yang dirasakan dari segi pengaruh politik.

Beliau menambah sebarang perkongsian masa depan antara kedua-dua blok itu berkemungkinan transaksional, lebih didorong oleh perkiraan pilihan raya berbanding penjajaran ideologi atau saling mempercayai.

Bilcher juga turut mengingatkan bahawa pakatan sedemikian akan rapuh dan terdedah pada perpecahan sekiranya tiada reformasi institusi bagi memupuk keadilan.

“Landskap politik Sabah amat memerlukan mekanisme yang menggalakkan rundingan telus, penyelesaian pertikaian yang adil dan perkongsian kuasa yang saksama.

“Hanya dengan itu pembinaan gabungan boleh menjadi lebih stabil dan boleh dipercayai di mata pengundi,” katanya.

Sementara itu, seorang penganalisis politik yang enggan dikenali menyifatkan seruan 'ikhlas' Bung Moktar sebagai ‘ironik’ berikutan penglibatannya dalam percubaan untuk menggulingkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada dua tahun lalu.

“Dia tidak sepatutnya menggunakan istilah ‘ikhlas’ kerana dia sendiri bekerjasama dengan pesaing untuk menggerakkan ‘Langkah Kinabalu’ dalam usaha untuk menjatuhkan Hajiji.

“Bukankah itu pengkhianatan? Jadi siapa sebenarnya yang tidak ikhlas? Kenyataan terbaru beliau hanya mengesahkan UMNO Sabah secara konsisten tidak konsisten.

"Itu tidak baik untuk UMNO Sabah kerana orang Sabah mungkin mentafsirkannya sebagai ‘terdesak’ dan tidak boleh bertanding sendirian. Di manakah keberanian dan keyakinan bahawa UMNO Sabah boleh berdiri sendiri?” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis, Azmi Hassan menyifatkan seruan Bung Moktar itu berpunca daripada “pengajaran” selepas timbulnya pergeseran apabila UMNO dan BERSATU yang ketika itu diketuai Hajiji, bekerjasama pada PRN lalu.

“Bung bercakap tentang keikhlasan kerana pengajaran daripada PRN lalu. UMNO dan BERSATU bekerjasama, tetapi BERSATU meletakkan orang mereka sebagai calon bebas.

“Walaupun dipersetujui bahawa tidak akan ada pertembungan ‘olok-olok’, BERSATU meletakkan calon yang ‘menyamar’,” katanya.

Azmi juga berkata pendirian Bung Moktar secara tidak langsung mencerminkan pendirian UMNO di peringkat pusat.

“Bukannya Bung berubah-ubah tentang kerjasama (dengan GRS).

“Sejak hari pertama, UMNO mahu UMNO Sabah bekerjasama dengan GRS dan PH. Bukan Bung yang berubah-ubah tetapi arahan pihak atasan,” katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama