Sabah komited perkasa TVET & STEM, sasar tambah penuntut baharu ILTP

Arifin (tengah) ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen Institusi Latihan Teknikal Dan Perdagangan (ILTP) ke-35 di SICC, di sini hari ini.

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah komited mempergiat bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pelbagai inisiatif bersepadu di peringkat akar umbi.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Arifin Arif berkata, antara langkah utama ialah memperluaskan kesedaran kepada pelajar sekolah rendah dan menengah mengenai potensi kerjaya dalam bidang kemahiran dan teknikal.

“Kita akan berikan kesedaran di peringkat sekolah, termasuk mempergiat bidang STEM.

"Selain itu, kerajaan negeri telah menubuhkan Majlis TVET Negeri Sabah bagi menyelaras dan memperkukuh pelaksanaan TVET di semua peringkat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen Institusi Latihan Teknikal Dan Perdagangan (ILTP) ke-35 di SICC, Kota Kinabalu.

Beliau turut memaklumkan bahawa program jelajah ke sekolah serta penganjuran Karnival STEM di seluruh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sedang dilaksanakan bagi memperluaskan capaian dan minat pelajar dalam bidang berkenaan.

“Setiap PPD menerima peruntukan RM20,000 untuk penganjuran karnival. Kita dapat lihat sambutan sangat luar biasa, terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) Sabah, Kamsiah Ibrahim berkata, pihaknya sedang merancang untuk menambah kapasiti pengambilan pelatih baharu ILTP dengan membuka kampus satelit di beberapa daerah.

"Kami akan membuka kampus-kampus satelit di luar bandar dan akan berkolaborasi dengan pelbagai pihak di peringkat daerah.

"Ini bagi memastikan lebih ramai belia tempatan dapat dilatih dan memiliki kemahiran yang relevan dengan keperluan industri,” katanya.

Menurut beliau, sebanyak 305 graduan diraikan dalam konvokesyen kali ini melibatkan sesi 2024 dan 2025, dan angka itu dijangka meningkat seiring peluasan kapasiti dan jaringan latihan di seluruh negeri.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama