![]() |
Zahid (lima dari kanan) menyerahkan peruntukan program tanam semula dan bekalan kepada RISDA Sabah. |
KOTA KINABALU: Sabah akan terus disantuni dan maju ke hadapan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
"Namun saya akui, khususnya di Sabah ini masih banyak yang belum lengkap, masih ada yang jauh dari sempurna.
"Banyak yang perlu diteruskan dan ditambah baik. Sebagai Menteri yang menerajui kementerian yang menguruskan desa dan wilayah, saya mahu Sabah terus disantuni dan maju ke hadapan," ujarnya.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mendedahkan dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, sebanyak RM34.5 bilion telah disalurkan di bawah kementeriannya.
"Saya bangga menyatakan bahawa Sabah menerima peruntukan tertinggi iaitu melebihi RM1.1 bilion setahun, melibatkan 317 projek pembangunan pada tahun ini termasuk jalan, bekalan air, kemudahan asas dan inisiatif ekonomi setempat.
"Ini termasuklah pelbagai program pembangunan ekonomi kampung yang memberi tumpuan kepada tanah terbiar, ekonomi insitu dan produk tempatan.
"Lebih 7,000 penerima manfaat telah dibantu. Malah, menerusi Program Desa Lestari, sebanyak RM12.75 juta telah dilaburkan demi mencipta 750 peluang pekerjaan dan manfaat kepada lebih 5,000 penduduk.
"Paling membanggakan, Kampung Batu Puteh, Kinabatangan berjaya menjana RM9.9 juta melalui sektor pelancongan sejak 2014 hasil daripada usaha ini.
"Saya tahu, tidak semua usaha sempat saya sebutkan satu persatu tetapi percayalah setiap sen yang dibelanjakan, setiap dasar yang digubal semuanya demi memastikan rakyat desa ada bumbung di kepala, ada pendapatan di tangan dan ada harapan di dada," jelasnya.
Beliau turut menegaskan kementeriannya tidak melupakan pembangunan modal insan apabila menyatakan pembinaan MRSM Ranau sebagai salah satu bukti bahawa kementerian beliau komited dalam membantu membangunkan rakyat.
Ahmad Zahid berucap demikian ketika merasmikan Konvensyen Pemerkasaan Kepimpinan Luar Bandar MADANI di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah dekat sini, pada Selasa.
Ahmad Zahid juga berkata konvensyen tersebut menjadi wadah interaktif peringkat nasional yang memberi ruang kepada pengurusan tertinggi kementerian dan kepimpinan negara untuk berinteraksi secara langsung dengan pimpinan akar umbi.
Konvensyen Pemerkasaan Kepimpinan Luar Bandar Madani menghimpunkan 1,200 pemimpin Jawatankuasa Kemajuan Desa Madani (JKDM) turut dihadiri oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Zambri Abdul Kadir, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Noraini Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Komuniti Kemas Datuk Bung Mokhtar Radin, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Wira Ashraf Wajdi Dasuki dan pimpinan masyarakat.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)