Tindakan mahasiswa bakar karikatur PM tidak beradab, UMS lapor polis


KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyifatkan tindakan membakar karikatur Perdana Menteri oleh peserta perarakan Gempur Rasuah 2.0 sebagai perbuatan tidak beradab, tidak matang dan tidak mencerminkan nilai intelektual mahasiswa institusi pengajian tinggi.

Dalam satu kenyataan media hari ini, pihak UMS menegaskan bahawa mereka memandang serius insiden yang tular di media sosial itu dan akan membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.

Katanya, selain bertentangan dengan norma perhimpunan aman, tindakan membakar karikatur ini jelas mencerminkan sikap kurang ajar dan tidak bertanggungjawab.

"Ia bukan sahaja mencemar imej mahasiswa, tetapi tindakan tersebut berisiko mendatangkan mudarat bukan sahaja kepada peserta malah kepada orang awam.

Menurutnya, UMS turut menegaskan bahawa pihak universiti tidak terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung dalam insiden tersebut.

"UMS menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut.

“UMS juga menolak sekeras-kerasnya sebarang tindakan yang bersifat provokatif dan boleh membawa mudarat kepada mana-mana pihak,” katanya.

Dalam pada itu, UMS turut meluahkan kekesalan terhadap kenyataan kumpulan terbabit yang mempersoalkan pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang diPertua Negeri Sabah.

"UMS menjelaskan bahawa pelantikan itu dibuat dengan perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan wajar dihormati" jelasnya.

Terdahulu, kenyataan itu dikeluarkan oleh Pusat Komunikasi Korporat UMS, susulan penyebaran rakaman video insiden membakar karikatur Perdana Menteri yang mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama