Rakyat Sabah semakin prihatin, derma darah cecah hampir 78,000 beg darah

Antara penerima sijil penghargaan yang disampaikan oleh Tunku Mariamz (kiri).

KOTA KINABALU: Jumlah pendermaan darah di Sabah menunjukkan peningkatan apabila sebanyak 77,996 beg darah berjaya dikumpul pada 2024 berbanding 75,644 beg pada tahun 2023.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr Maria Suleiman, berkata meskipun terdapat peningkatan, namun masih belum mencukupi untuk menampung keperluan pesakit yang semakin meningkat, peningkatan kes-kes kanser dan penyakit kronik serta peningkatan populasi golongan masyarakat yang berusia.

"Keperluan darah yang tinggi di negeri ini turut dipengaruhi oleh permintaan darah bagi pesakit Talasemia yang memerlukan transfusi darah sekurang-kurangnya sekali sebulan.

"Jumlah pesakit talasemia di Sabah adalah yang tertinggi di Malaysia iaitu 1,995 pesakit talasemia, dengan 1,380 daripadanya merupakan pesakit Transfusion-Dependent Thalassaemia (TDT) yang bergantung sepenuhnya kepada bekalan darah untuk meneruskan kehidupan.

“Bilangan notifikasi kes baharu talasemia di Sabah pula mencatatkan 73 kes baharu pada tahun 2024 manakala 20 kes lagi direkodkan setakat Mei tahun ini,” katanya kepada media semasa Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Negeri Sabah 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), baru-baru ini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Paduka Puteri Tunku Mariamz binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj yang turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 53 individu terdiri daripada penderma darah sukarela dan penganjur kempen derma darah dari seluruh negeri.

Program itu turut berjaya mengumpul sebanyak 193 beg darah.

Tunku Mariamz turut menzahirkan penghargaan dan rasa bangga atas keprihatinan masyarakat Sabah terhadap keperluan bekalan darah, sekali gus menyifatkannya sebagai satu pengorbanan yang mulia.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama