DBP anjur 20 program sempena Karnival MANA

Hazami ketika ditemui media.

KOTA KINABALU : Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan menganjurkan sebanyak 20 program sempena Karnival MADANI Nan Abadi (MANA) yang bakal berlangsung di Tuaran, Membakut dan Kota Kinabalu.

Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari berkata, pelbagai pengisian melibatkan penyertaan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), serta pelajar sekolah rendah dan menengah akan diadakan sepanjang karnival berkenaan.

“Sambutan julung kali diadakan di Sabah ini merupakan tanda penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sabah yang sentiasa menyokong usaha memartabatkan bahasa kebangsaan dan kesusasteraan Melayu.

“Tema sambutan tahun ini, ‘Semangat Obor Nan Abadi’, melambangkan semangat perjuangan yang sentiasa menyala dalam memartabatkan bahasa dan kesusasteraan negara,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Isnin.

Kunjungan itu bertujuan menjemput Tun Musa menghadiri Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-69 DBP yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 28 Jun ini.

Menurut Hazami, majlis tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran penyair dari negara jiran sempena Kepengerusian Sidang ASEAN oleh Malaysia tahun ini.

“Kita menjemput penyair dari Brunei Darussalam, Indonesia dan Singapura untuk menyampaikan puisi pada malam kemuncak sambutan,” katanya.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama