![]() |
Antara barang yang disita termasuk kenderaan yang digunakan dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi menerusi Operasi TIRIS di Tawau. |
TAWAU: Tiga lelaki tempatan ditahan manakala pelbagai barang kawalan termasuk bahan api bersubsidi dianggarkan bernilai lebih RM330,000 dirampas dalam Operasi TIRIS yang dilaksanakan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) bersama beberapa agensi penguat kuasa lain di daerah ini.
Operasi dijalankan selama dua hari berakhir semalam itu membabitkan kerjasama strategik antara ESSCOM, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi membanteras penyelewengan barang kawalan dan jenayah rentas sempadan di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone).
Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, tiga lelaki berusia antara 31 hingga 37 tahun ditahan dalam serbuan pertama di kawasan stesen minyak Jalan Apas, di sini.
"Pemeriksaan mendapati suspek menyimpan sejumlah besar minyak diesel dalam kenderaan pacuan empat roda yang diubah suai dengan tangki khas selain dalam beberapa tong plastik yang disorok di sekitar kawasan stesen minyak berkenaan.
"Turut dirampas dua kenderaan pacuan empat roda, telefon bimbit, dokumen pembelian dan beberapa peralatan lain yang dipercayai digunakan untuk aktiviti penyelewengan barang kawalan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, kesemua suspek diserahkan kepada Bahagian Penguat Kuasa KPDN untuk siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sementara itu, katanya, operasi kedua di kawasan jeti Batu 3 Jalan Apas membawa kepada rampasan sebuah bot dan beberapa barangan yang dipercayai cuba diseludup masuk dari sempadan Indonesia.
Menurutnya, pemerhatian ke atas bot mencurigakan itu mendapati ia masuk dari sempadan perairan negara jiran.
"Bagaimanapun, menyedari kehadiran pihak berkuasa, juragan dan beberapa penumpang bertindak terjun ke laut untuk melarikan diri dan gagal dikesan.
"Seorang wanita warga tempatan yang berada di atas bot gagal meloloskan diri dan hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang dokumen kastam berkaitan barang yang dibawa.
"Antara yang dirampas dalam operasi itu ialah bot dengan enjin sangkut, pelbagai bahan makanan serta sebuah lori mencurigakan yang ditemui berhampiran kawasan jeti," katanya sambil memaklumkan siasatan lanjut dijalankan oleh JKDM mengikut Akta Kastam 1967.