SKAW perkasa Askar Wataniah, kukuh keselamatan Sabah – Hajiji

 

Hajiji ketika berucap di SKAW.

KOTA KINABALU: Sidang Komander Askar Wataniah (SKAW) yang berlangsung di Sabah diharap menjadi platform terbaik membincangkan isu keselamatan dan memperkasa peranan askar wataniah sebagai antara benteng pertahanan negara.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, sebagai negeri yang berhampiran beberapa negara jiran, aspek keselamatan perlu diberi keutamaan bagi menjamin keamanan dan kesejahteraan rakyat di Sabah.

“Sebab itu, saya amat mengalu-alukan SiKAW ini diadakan di Sabah. Saya dimaklumkan antara tujuan persidangan ini adalah membincangkan hal-hal pemerkasaan askar wataniah antaranya dari segi pentadbiran dan logistik.

“Dalam melaksanakan agenda pembangunan negeri menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya, kita amat perlu mengekalkan keamanan dan keharmonian,” katanya pada Majlis Makan Malam SKAW Siri 37/2025 anjuran kerajaan negeri, pada Rabu.

Hajiji yang juga Penaung Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) Negeri Sabah turut menyatakan sokongan terhadap kegiatan Askar Wataniah di negeri ini.

Katanya, pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya tidak hanya memberi penekanan kepada sektor utama ekonomi seperti pertanian, perindustrian dan pelancongan, tetapi turut meliputi pembangunan modal insan, kesejahteraan rakyat, jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau.

“Dalam aspek kesejahteraan rakyat, pelbagai langkah proaktif dilaksanakan secara berterusan antaranya penyediaan rumah untuk golongan miskin luar bandar menerusi Program Rumah Mesra SMJ di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kerajaan negeri juga menyediakan pelbagai bantuan pendidikan bagi membantu anak-anak Sabah meneruskan persekolahan. Sebab itu, saya amat menekankan aspek keselamatan agar lebih banyak pembangunan dapat dibawa ke negeri ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hajiji menzahirkan penghargaan atas pengiktirafan yang diberikan kepada Sabah sebagai tuan rumah persidangan tersebut.

“Majlis ini bukan sahaja untuk meraikan Ahli SKAW, tetapi juga dapat mengeratkan hubungan antara Kerajaan Negeri Sabah dengan Angkatan Tentera Malaysia, khususnya askar wataniah,” tambahnya.

Hadir sama, Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman bersama isteri, Toh Puan Faridah Tussin,  Raja Muda Perlis  Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail  merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah dan isteri, Tuanku Dr. Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir, Brigedier Jeneral Datuk Seri Tengku Baharuddin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Komander Rejimen 512 Askar Wataniah dan isteri, Toh Puan Seri Zuriana Ismail; Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Panglima Kadzim M. Yahya dan isteri, Datin Seri Panglima Noraini Salleh, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong dan isteri, Datin Seri Panglima Dr. Nuinda Alias dan Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Seri Rosli Isa se isteri.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama