KOTA KINABALU: Pemberi maklumat yang dikaitkan dengan pendedahan skandal rasuah membabitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah bakal dihadapkan ke Mahkamah Kota Kinabalu pada 30 Jun ini.
Perkara itu disahkan peguamnya, Mahajoth Singh, yang memaklumkan anak guamnya hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, pagi tadi, bagi memberikan keterangan lanjut.
“Pada awalnya, kami dimaklumkan bahawa proses rakaman kenyataan hanya akan mengambil masa yang singkat.
“Namun, sebaik tiba, kami diberitahu bahawa pihak SPRM menerima arahan daripada pihak atasan untuk mendakwa anak guam saya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Mahajoth, anak guamnya tetap tenang dan teguh dengan pendirian walaupun tindakan pendakwaan diambil terhadapnya, bukannya diberikan perlindungan di bawah status pemberi maklumat, walaupun isu yang dibangkitkan melibatkan kepentingan awam yang besar.
Difahamkan, sejak November tahun lalu, individu terbabit menyerahkan beberapa rakaman video berkaitan isu lesen perlombongan yang dikaitkan dengan beberapa ADUN Sabah kepada sebuah portal berita.
Ketika ini, pemberi maklumat terbabit telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.
Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan dua ADUN Sabah dan seorang individu awam akan didakwa berhubung siasatan kes rasuah berkaitan isu berkenaan sebelum akhir bulan ini.
Media sebelum ini turut melaporkan seorang individu hadir ke pejabat SPRM pada 30 Oktober tahun lalu untuk menyerahkan bahan bukti, termasuk satu rakaman audio berdurasi 17 saat yang memperdengarkan beberapa individu berbincang mengenai jumlah wang dalam satu pertemuan.