KOTA KINABALU: Aktivis politik Sabah, Johan Ariffin Samad menolak gesaan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak agar semua parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) membuka ruang untuk 'pertandingan mesra' bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tertentu.
Memetik sumber Free Malaysia Today, beliau berkata aturan terbabit mustahil berlaku disebabkan 'dinamik politik rumit' negeri ini.
“Dalam pilihan raya tidak wujud istilah pertandingan mesra kerana semua orang mahu menang. Bak kata orang, tiada apa yang kekal dalam politik.” katanya.
Kerajaan negeri kini diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS), manakala Barisan Nasional (BN) di blok pembangkang susulan perpecahan dua gabungan terbabit pada awal tahun 2023.
Walau bagaimanapun GRS dan BN kekal sebagai rakan dalam kerajaan di peringkat Persekutuan bersama Pakatan Harapan (PH) serta Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Baru-baru ini, Salleh yang juga merupakan pemimpon UMNO Sabah mencadangkan GRS dan BN bekerjasama pada PRN17 yang dijadualkan bakal berlangsung tahun ini.
Beliau mengakui kemungkinan berlakunya pertindihan di kawasan tertentu. Susulan itu, beliau mencadangkan ‘aturan matang dan saling menghormati’ yang membolehkan kedua-dua gabungan meletakkan calon di kerusi tertentu.
Salleh berkata, dalam keadaan itu parti dalam gabungan bersetuju bertanding tetapi kekal bersatu, dengan persefahaman ‘siapa pun yang menang, kerusi itu kekal dalam gabungan’.