Geng pecah pejabat Felda Umas 1 tumpas dalam masa 24 jam

Kesemua suspek berjaya ditahan dalam tempoh masa kurang 24 jam selepas memecah masuk Pejabat Felda Umas 1, awal pagi semalam. Foto | Ihsan PDRM

TAWAU: Cubaan tiga individu termasuk seorang remaja perempuan warga asing memecah masuk sebuah pejabat ladang di Felda Umas 1 awal pagi semalam, membawa padah apabila kesemua mereka diberkas polis dalam tempoh kurang 24 jam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek pertama iaitu remaja perempuan berusia 15 tahun ditahan ketika cuba melarikan diri dari lokasi kejadian hasil tindakan pantas sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bersama penduduk dan pekerja Felda.

“Hasil siasatan awal mendapati remaja perempuan itu dipercayai bersama dua lagi rakan lelaki tempatan masing-masing berusia 26 dan 28 tahun memecah masuk pejabat ladang terbabit sebelum melarikan beberapa barangan. 

"Susulan itu, tangkapan kedua dilakukan jam 5.10 petang di sebuah rumah di Blok 5, Felda Umas, manakala suspek ketiga ditahan tidak lama kemudian di hadapan sebuah pasar raya di Jalan Utara, dekat sini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu beliau berkata, satu laporan polis dibuat pengurus ladang selepas menerima makluman daripada seorang pekerja yang menyedari pagar pejabat rosak dan beberapa peralatan hilang.

Katanya, antara barangan yang didapati hilang termasuk sebuah komputer riba, telefon pintar, pembesar suara serta token perbankan dengan nilai kerugian masih dalam siasatan.

"Siasatan turut mendapati remaja perempuan terbabit tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya sambil menambah tiada rekod jenayah lampau dikesan terhadap ketiga-tiga suspek.

Jasmin tidak menolak kemungkinan wujud suspek lain dalam kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.


.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama