KOTA KINABALU: Sabah terus mencatatkan prestasi memberangsangkan apabila berjaya merekodkan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM10.9 bilion dalam suku pertama tahun ini.
Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe berkata ini sekaligus meletakkan negeri ini sebagai destinasi pelaburan ketiga tertinggi di Malaysia, selepas Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Menurutnya, pencapaian terbabit telah melebihi jumlah keseluruhan pelaburan sepanjang tahun 2024 dan ia mengukuhkan keyakinan pelabur terhadap Sabah.
“Pencapaian ini mencerminkan keyakinan berterusan pelabur terhadap potensi pertumbuhan ekonomi dan ekosistem perniagaan yang kondusif di Sabah. Ini hasil daripada dasar mesra pelabur serta komitmen teguh kerajaan negeri dalam merangsang pembangunan industri,” katanya.
Menurut laporan prestasi pelaburan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), pelaburan langsung asing (FDI) kekal sebagai penyumbang terbesar dengan nilai RM6.6 bilion atau 61 peratus, manakala pelaburan domestik (DDI) mencatat RM4.29 bilion atau 39 peratus.
Sektor pembuatan muncul sebagai penyumbang tertinggi kepada prestasi tersebut, dengan nilai pelaburan sebanyak RM7.3 bilion, menjadikan Sabah negeri tertinggi menerima pelaburan sektor pembuatan bagi suku ini.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM6.59 bilion atau 91.3 peratus merupakan pelaburan asing manakala selebihnya disumbangkan oleh pelaburan domestik.
Sektor perkhidmatan turut menyumbang RM2.83 bilion diikuti sektor utama dengan RM757.1 juta.
“Kerajaan negeri sentiasa komited untuk memperkasa ekosistem pelaburan dan mengalu-alukan lebih banyak pelabur asing dan domestik demi menjayakan aspirasi pembangunan ekonomi yang mampan dan inklusif,” ujarnya lagi.