Tak puas hati, suami naik hantu pukul isteri


TAWAU: Seorang lelaki yang bertindak ganas memukul dan mengugut isterinya dengan senjata tajam dicekup polis selepas cuba melarikan diri di Kampung Haji Matahir, di sini, semalam.

Kejadian yang berpunca daripada salah faham itu, suspek bukan saja memukul mangsa sehingga cedera, malah turut mengacukan kapak dan pisau sambil melontarkan kata-kata ugutan yang mengancam keselamatan isterinya sendiri.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, mangsa yang ketakutan tampil membuat laporan polis selepas kejadian berlaku di kediaman mereka.

“Bimbang keselamatan diri, mangsa membuat laporan selepas mendakwa dipukul dan diugut suaminya menggunakan kapak dan pisau.

“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai segera digerakkan ke lokasi bagi mengesan suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, suspek berusia 44 tahun itu cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis, namun berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan dengan anggota polis.

“Hasil tangkapan, polis turut merampas sebilah kapak dan pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.

“Suspek dan barang rampasan kini dibawa ke Balai Polis Bombalai untuk siasatan lanjut,” katanya.

Jasmin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Dalam masa sama, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak bertindak di luar kawalan dalam menangani konflik rumah tangga.

“Gunakan saluran yang betul seperti mendapatkan khidmat kaunseling atau nasihat daripada pihak berkuasa berkaitan. Tindakan ganas bukan penyelesaian,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama