Belum reda isu tolak BN, kini pemimpin PBS dan STAR dikait skandal perlombongan

PBS dan STAR.

KOTA KINABALU: Belum pun reda dengan pengumuman Parti Bersatu Sabah (PBS) menolak sebarang kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN) semalam, hari ini beberapa pemimpin tertinggi parti itu serta Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dikaitkan pula dengan dakwaan skandal rasuah perlombongan membabitkan nilai hampir RM4 juta.

Sumber yang dipetik Malaysiakini mendakwa, enam tokoh politik kanan Sabah, termasuk dua Timbalan Ketua Menteri, didakwa terlibat menerima sogokan membabitkan wang tunai dalam jumlah besar.

Antara yang dinamakan termasuk Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan; dua Timbalan Presidennya, Datuk Ellron Alfred Angin dan Datuk Robert Tawik; serta pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam. Turut disebut ialah bekas Presiden PBS, Tan Sri Dr Maximus Ongkili dan Timbalan Presiden PBS, Datuk Jahid Jahim.

Dakwaan ini timbul kurang 48 jam sebelum seorang pemberi maklumat dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dijadualkan didakwa di mahkamah berkaitan kes rasuah yang sama.

Menurut sumber, jumlah keseluruhan wang yang didakwa terlibat mencecah RM3.96 juta, dengan Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri I dan Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah dikatakan menerima jumlah tertinggi iaitu RM1.78 juta.

Sementara itu, Joachim yang kini menyandang jawatan Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah pula dikaitkan dengan penerimaan RM600,000.

“Biar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan tugas mereka,” kata Joachim secara ringkas menerusi mesej teks kepada Malaysiakini apabila diminta mengulas dakwaan itu.

Ellron dan Robert, masing-masing yang berkhidmat sebagai Menteri Belia dan Sukan serta Pembantu Menteri Kerja Raya negeri, turut dikatakan menerima bayaran berjumlah RM530,000 dan RM300,000.

Manakala Jahid – Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri – didakwa menerima RM150,000.

Sumber turut mendakwa wujud pelbagai bentuk bukti seperti mesej aplikasi WhatsApp, dokumen serta rakaman video yang mengaitkan kesemua nama tersebut dengan transaksi rasuah berkenaan.

Bagaimanapun, rakaman penuh video berkenaan belum dapat disahkan sama ada akan didedahkan secara umum atau diserahkan kepada SPRM.

Salah satu tangkapan skrin yang ditunjukkan kepada media memaparkan sari kata perbualan membabitkan individu tidak dikenali yang didakwa merujuk kepada urusan membabitkan wang tunai sebanyak RM600,000.

Setakat ini, belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada kepimpinan tertinggi GRS berhubung dakwaan itu, manakala SPRM juga belum mengesahkan sama ada siasatan terhadap keenam-enam individu berkenaan sedang dijalankan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama