KPM, MINDEF bina sekolah di Serudung Laut, tingkat akses pendidikan kawasan pedalaman

 

KPM dan MINDEF lancar program bina sekolah di Serudung Laut Sabah

KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan inisiatif baharu iaitu Program Jiwa Murni, dengan kerjasama Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) bagi membina sebuah sekolah di Serudung Laut, Sabah. 

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata bahawa Program khusus untuk Sabah ini bertujuan memastikan akses pendidikan yang lebih baik untuk anak-anak di kawasan pedalaman.

“Ini adalah kerjasama besar-besaran yang melibatkan komuniti. Kita akan pastikan projek ini berjalan dengan lancar dan pembinaan sekolah di Serudung Laut itu menjadi kenyataan. 

“Saya telah melawat kawasan tersebut dan saya dapati ada ruang akses yang mampu memberi ruang pembelajaran kepada anak-anak di Serudung Laut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Sabtu. 

Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-69 Dewan Bahasa dan Pustaka Peringkat Kebangsaan 2025 dirasmikan oleh Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Musa Haji Aman. 

Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa KPM turut melaksanakan Program Khas (Pro Khas) sebagai langkah awal bagi memastikan anak-anak di Serudung Laut tidak tercicir dalam pendidikan sementara menunggu pembinaan sekolah baharu disiapkan sepenuhnya.

“Program ini merangkumi kelas pembacaan dan pengajian yang dikendalikan oleh guru-guru dari Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sendiri,” tambahnya. 

Dalam pada itu, Fadhlina turut menzahirkan rasa bangganya terhadap pencapaian Sabah dalam prestasi cemerlang keputusan STPM baru-baru ini, dengan lebih 146 pelajar berjaya memperoleh keputusan 4 flat.

“Sabah sentiasa menjadi keutamaan kami. Potensi ini amat membanggakan, dan oleh itu, kami akan terus memperkukuh pelbagai inisiatif dan usaha untuk meningkatkan mutu pendidikan Tingkatan Enam di Sabah,” jelasnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama