![]() |
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin. |
TAWAU : Gara-gara disyaki ‘lalok’, seorang lelaki naik angin sebelum memukul dan mengugut isterinya menggunakan gitar elektrik serta sebilah gunting dalam kejadian di Kampung Tanah Merah, Merotai Besar, di sini, semalam.
Kejadian kira-kira jam 7.13 malam itu, suspek berusia 44 tahun dipercayai bertindak agresif selepas wanita berusia 36 tahun itu menegurnya kerana mengesyaki dia mengambil dadah jenis syabu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek bukan sahaja memukul isterinya di bahagiybahu kanan menggunakan gitar elektrik, malah turut mengacukan gunting sambil mengancam mahu menikam mangsa beberapa kali.
Beliau berkata, suspek turut bertindak membocorkan keempat-empat tayar kenderaan milik isterinya bagi menghalang wanita itu daripada keluar membuat laporan polis.
"Suspek bagaimanapun akhirnya berjaya diberkas sejam kemudian iaitu pada jam 11.35 malam berhampiran rumah mereka susulan laporan dibuang isterinya.
“Polis turut merampas barang yang digunakan dalam kejadian termasuk gitar elektrik dan gunting yang ditemui di tepi jalan berdekatan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Jasmin berkata, suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dan melakukan ugutan jenayah.
Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dalam kes keganasan rumah tangga, lebih-lebih lagi yang melibatkan senjata yang boleh mendatangkan kecederaan serius.
Sehubungan itu beliau menggesa mangsa keganasan rumah tangga supaya tampil segera membuat laporan bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap pelaku.