Port PATI diserbu, 238 dicekup di Sandakan


SANDAKAN: ‘Port’ pendatang asing tanpa izin (PATI) bersembunyi dan mencari rezeki tanpa dokumen akhirnya diserbu dalam operasi mengejut awal pagi di sekitar Sandakan, semalam.

Seramai 238 PATI termasuk wanita dan kanak-kanak diberkas dalam Ops Mahir dan Ops Sapu yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, bermula jam 1.30 pagi sehingga selesai.

Kawasan yang menjadi tumpuan operasi itu terdiri daripada penempatan rumah setinggan, tapak pembinaan perumahan dan kilang kayu dipercayai lokasi yang sering dijadikan 'port' warga asing tanpa dokumen.

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof, berkata operasi bersepadu itu membabitkan 71 pegawai pelbagai pangkat dari Pejabat Imigresen Sandakan, Tawau, Lahad Datu dan Bahagian Penguatkuasa JIM Sabah.

“Sebanyak 480 individu diperiksa, dan daripada jumlah itu, 238 ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan imigresen.

“Tangkapan melibatkan 88 lelaki dewasa, 88 wanita dewasa, 30 kanak-kanak lelaki dan 32 kanak-kanak perempuan yang ditahan kerana tiada dokumen sah, tinggal melebihi tempoh, salah guna pas serta bekerja tanpa permit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semua tahanan kemudian dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Sandakan untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Menurut Sitti Saleha, sepanjang tahun ini sehingga 4 Jun, JIM Sabah sudah memeriksa 13,850 individu, menahan 2,730 PATI dan 53 majikan yang menggaji mereka secara haram.

“Sebanyak 6,058 PATI juga telah dihantar pulang ke negara asal melalui laut dan udara,” katanya.

Beliau turut menyeru orang awam agar menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui lokasi atau premis yang menjadi sarang PATI.

“Operasi penguatkuasaan seperti ini akan diteruskan secara agresif dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran warga asing tanpa izin.

“Kita akan terus bertindak tegas di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” katanya.

Beliau menegaskan, JIM Sabah tidak akan berkompromi dan akan memastikan hanya individu yang sah dibenarkan berada di Malaysia demi keselamatan dan kedaulatan negara.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama