KM serah sumbangan 200 ekor lembu korban

Hajiji (kanan) pada sambutan Hari Raya Aidiladha di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Samah Sabah, Kampung Lok Batik, hari ini. 


TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyempurnakan penyerahan sumbangan sebanyak 200 ekor lembu korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Samah Sabah, Kampung Lok Batik pada Khamis. 

Para penerima agihan sumbangan lembu korban terdiri daripada wakil masjid dan surau kawasan parlimen Tuaran, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta agensi negeri dan daerah. Ketika ditemui selepas majlis penyerahan, Hajiji berkata ibadah korban bukan sahaja melambangkan ketaatan kepada Allah SWT, juga menjadi medium pengukuhan perpaduan dan semangat saling membantu dalam kalangan masyarakat.

"Ibadah korban membawa mesej besar dalam memperkukuh semangat kesatuan dan saling membantu dalam kalangan masyarakat Islam. Hari Raya Aidiladha bukan sekadar perayaan, tetapi satu penghayatan terhadap nilai pengorbanan, keikhlasan dan kepedulian", katanya.

Mengulas mengenai kenyataan Datuk Seri Bung Moktar Radin bahawa UMNO Sabah hanya akan menimbangkan kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN 17), Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, perkara itu adalah pandangan Bung.

"GRS belum lagi buat sebarang keputusan. Ahli Majlis Tertinggi GRS akan bermesyuarat dalam tempoh terdekat ini untuk menentukan hala tuju kita dalam PRN 17, termasuk siapa dan parti yang akan menjadi rakan kerjasama, menentukan agihan kerusi dan lain-lain", katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Jahid Jahim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya dan ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama