SPRM sahkan 3 individu termasuk 2 ADUN Sabah akan didakwa


TUARAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan tiga individu, termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), bakal didakwa dalam tempoh terdekat berhubung siasatan kes Op Adun.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata dua daripada mereka merupakan wakil rakyat manakala seorang lagi adalah orang awam.

“Mereka kini dalam proses untuk ditahan dan dimaklumkan. Keterangan mereka juga sedang diambil di bawah Kenyataan Beramaran.

“Tarikh pendakwaan belum dapat dimaklumkan secara rasmi kerana ia bergantung kepada ketersediaan tarikh mahkamah, namun kita jangka pertuduhan akan dibuat dalam bulan ini juga, atau selewat-lewatnya hujung bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Teknologi, Pengurusan dan Kelestarian di Universiti Teknologi MARA (UiTM), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Azam menjelaskan bahawa SPRM tidak hanya bergantung kepada video tular yang menjadi tumpuan siasatan, sebaliknya turut mengambil kira pelbagai bentuk bukti lain.

“Saya tidak boleh ulas lebih lanjut mengenai video berkenaan kerana ia kini subjudis. Sama ada video itu tulen atau tidak, kita tetap perlu menyokong siasatan dengan pelbagai bentuk bukti termasuk keterangan saksi.

“Dalam kes ini, bukan sekadar audio visual menjadi sandaran, tetapi juga penjelasan daripada individu yang terlibat secara langsung,” katanya.

Terdahulu, SPRM melancarkan Ops Adun bagi menyiasat pembabitan beberapa ADUN Sabah dalam pengeluaran lesen perlombongan, susulan pendedahan siri video yang disunting dan diterbitkan oleh sebuah portal berita dalam talian pada November tahun lalu.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama