![]() |
Dr. Joachim (tengah), Julita dan ahli PBS yang lain memotong kek bersama-sama. |
KUDAT: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu memperkukuh kerjasama antara parti komponen dalam usaha memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, kata Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
Katanya, kerjasama erat antara PBS dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah) bukan bertujuan menggugat kedudukan mana-mana pihak dalam GRS, sebaliknya memperkukuh gabungan itu bagi memastikan kemenangan bersama.
“Untuk menghadapi PRN, kita kena bersatu di bawah GRS. Kita tidak boleh bergerak sendiri-sendiri jika mahu menang,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PBS Matunggong di Dewan Terbuka Pekan Matunggong, semalam.
Dr Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, kerajaan GRS sangat prihatin terhadap keperluan rakyat dan telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk kesejahteraan masyarakat.
“Di Matunggong, kita telah melaksanakan Program Rumah Mesra SMJ, Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR), Skim Insurans Rakyat Sabah serta inisiatif pendidikan.
“Kita juga menumpukan kepada pembinaan dan naik taraf jalan kampung serta pembangunan sektor pertanian,” katanya.
Beliau turut mengingatkan ahli-ahli PBS agar terus bersatu padu dan mengelak sebarang perpecahan yang boleh melemahkan kekuatan parti serta menjejaskan peluang GRS dalam PRN nanti.
Dalam pada itu, Dr Joachim turut menyatakan sokongan penuh terhadap Ketua Bahagian PBS Matunggong, Datuk Julita Majungki sebagai calon GRS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Matunggong.
“Saya menyeru semua ahli dan penyokong PBS untuk terus menyokong Datuk Julita dan memastikan kemenangan beliau. Saya juga berharap keahlian PBS di Matunggong akan terus bertambah.
“Saya merakamkan penghargaan kepada Julita dan Pengerusi Penganjur, Epson Kawahui yang juga Setiausaha Bahagian, atas kejayaan menganjurkan mesyuarat berkenaan yang dihadiri lebih 1,000 ahli serta pemerhati daripada parti-parti komponen GRS,” katanya.
Turut hadir, Naib Presiden merangkap Ketua Pergerakan Exco Pemuda PBS, Dr Christopher Mandut; barisan Ahli Majlis Tertinggi, Ketua-ketua Bahagian serta pemimpin setempat.