KOTA KINABALU: UMNO disaran supaya menilai semula sejarah serta peranannya dalam landskap politik Sabah sebelum menuding jari kepada pihak lain.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kenyataan Ketua UMNO Kota Kinabalu, Musliati Moslimin yang mendakwa UMNO bukan ‘alat politik’, ‘pelengkap skrip’ atau ‘pembeli janji palsu’ jelas menunjukkan kecenderungan untuk melupakan fakta sejarah.
Katanya, UMNO mempunyai rekod panjang dalam mengubah skrip politik, termasuk semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 2020.
“Dua hari sebelum penamaan calon, mereka bersetuju bertanding di 27 kerusi, tetapi akhirnya muncul di 41 kerusi.
“Tindakan ini jelas melanggar persefahaman bersama dan mencetuskan ketegangan dalam kalangan parti gabungan ketika itu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Nizam yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah menegaskan bahawa dalam sistem demokrasi, parti yang memenangi kerusi terbanyak wajar diberi keutamaan untuk mengetuai kerajaan.
“Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang digelar ‘parti serpihan’ oleh Musliati, sebenarnya meraih jumlah kerusi terbesar dan secara sah berhak mencalonkan Ketua Menteri.
“Ini bukan soal pengkhianatan, tetapi prinsip asas demokrasi yang perlu dihormati oleh semua,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan sikap Musliati yang tidak menyentuh insiden 'Langkah Kinabalu' pada Januari 2023, apabila beberapa pemimpin UMNO diketuai Datuk Seri Bung Moktar Radin didakwa cuba menggugat kerajaan negeri sedia ada.
“Tindakan untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih rakyat adalah tidak bertanggungjawab dan mencetuskan ketidaktentuan politik.
“Langkah Ketua Menteri menggugurkan mereka daripada Kabinet serta agensi kerajaan adalah prerogatif beliau demi kestabilan dan kesejahteraan rakyat,” tegasnya.
Nizam berkata, UMNO bukan lagi ‘abang besar’ dalam politik Sabah mahupun di peringkat nasional, memandangkan sokongan terhadap parti itu semakin merosot.
“Rakyat Sabah kini semakin muak dengan skrip politik lapuk yang sekadar menukar pelakon, tetapi masih mengekalkan jalan cerita sama. Apa yang dimahukan kini ialah perubahan yang tulen dan berprinsip,” katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri pimpinan GRS kini memberi tumpuan penuh terhadap agenda pembangunan dan kestabilan melalui kerjasama strategik bersama Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Kerjasama ini amat penting bagi memastikan pentadbiran negeri kekal stabil dan fokus kepada kepentingan rakyat, menjelang PRN Sabah akan datang,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa kuasa sebenar bukan terletak pada parti politik atau tokoh tertentu semata-mata.
“Kuasa sebenar terletak di tangan rakyat. Biarlah rakyat Sabah yang menilai sendiri siapa benar-benar bekerja dan siapa hanya tahu bermain drama politik,” katanya.