TAWAU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menghantar pulang seramai 127 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ke negara asal menerusi Terminal Feri Tawau ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia, dalam operasi pemindahan, semalam.
Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof, berkata daripada jumlah itu, 105 adalah lelaki dewasa, 19 wanita dewasa, tiga kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan berusia antara satu bulan hingga 64 tahun.
Katanya, kanak-kanak terbabit turut diiringi ibu bapa atau penjaga yang sah sepanjang proses penghantaran.
"Mereka sebelum ini ditahan di Depot Imigresen Tawau selepas didapati bersalah mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah serta tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.
"Mereka telah menjalani hukuman penjara dan proses penghantaran pulang dibuat selepas segala dokumen perjalanan lengkap dengan kerjasama Konsulat Jenderal Republik Indonesia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
SH Sitti Saleha berkata, semua PATI terbabit juga akan disenarai hitam daripada memasuki negara ini semula berdasarkan kesalahan yang dilakukan.
"Sehingga kini, seramai 1,173 warga Indonesia telah dihantar pulang melalui jalan laut sejak awal tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan warga asing yang dipindahkan dari Sabah ke negara asal masing-masing mencecah 6,053 orang," katanya.
Beliau turut menegaskan kelancaran program penghantaran pulang itu bergantung kepada pengeluaran Sijil Perjalanan Laksana Paspor (SPLP) secara berterusan oleh pihak Konsulat Indonesia.
"JIM Sabah akan terus melaksanakan operasi penghantaran ini secara berkala bagi mengelakkan tahanan ditahan terlalu lama di depot.
"Dalam masa sama, majikan serta pemilik premis diingatkan supaya tidak menggaji warga asing tanpa dokumen sah kerana tindakan tegas termasuk pendakwaan akan diambil terhadap mereka yang melanggar undang-undang imigresen," tegasnya.
Menurut beliau, JIM Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menyalahgunakan kemudahan atau pas diberikan, malah operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan bagi membanteras kehadiran PATI di negeri ini.