![]() |
Suspek ditahan selepas disyaki mendatangkan kecederaan pelanggan premis sebuah Cafe di Kubota Tawau, malam kelmarin. Foto | Ihsan PDRM |
TAWAU: Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki memukul seorang pelanggan menggunakan mug kaca sehingga menyebabkan kecederaan di kepala dalam kejadian di sebuah kafe di Kubota, dekat sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.45 malam itu, mangsa yang berusia 45 tahun dikatakan sedang duduk minum sebelum rakan mangsa mempelawa seorang lelaki tidak dikenali untuk duduk semeja.
Bagaimanapun, secara tiba-tiba suspek dikatakan terus bertindak memukul mangsa menggunakan mug kaca menyebabkan mangsa mengalami kecederaan dan luka di kepala.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil maklumat dan risikan, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berjaya menahan suspek kira-kira jam 3.45 petang semalam.
“Suspek berusia 45 tahun itu ditahan di hadapan sebuah restoran di Jalan St Patrick," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jasmin berkata, semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera menggunakan senjata atau benda berbahaya.
“Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan,” katanya.
Katanya, pihak polis masih melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.