Skandal terbaru Adun sedikit sebanyak akan mengubah percaturan politik negeri Sabah - Mustapha

 


KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah menyifatkan skandal rasuah terbaharu membabitkan pemimpin parti komponen kerajaan negeri sebagai perkembangan mengejutkan yang mampu mengubah landskap politik Sabah secara signifikan.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, pendedahan video serta maklumat berkaitan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dikaitkan dengan skandal terbabit menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat dan parti-parti politik di negeri ini.

“Kami menyangka perkara ini sudah berakhir dengan pendedahan awal sebelum ini, namun insiden yang berlaku baru-baru ini benar-benar mengejutkan dan sedang dianalisis dari pelbagai sudut.

“Saya fikir skandal ini sedikit sebanyak akan mengubah percaturan politik negeri dan PKR Sabah bersedia dengan sebarang kemungkinan. 

“Jentera parti di semua cabang diminta sentiasa peka terhadap perkembangan terkini dan bersiap siaga menghadapi apa jua situasi,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah, hari ini.

Mengulas insiden membakar karikatur Perdana Menteri dalam satu perhimpunan anti-rasuah baru-baru ini, beliau mengecam keras tindakan itu yang disifatkan tidak mencerminkan budaya masyarakat Sabah.

Katanya, perbuatan membakar karikatur wajah Perdana Menteri adalah keterlaluan dan mencemarkan perjuangan murni anak muda dalam menentang rasuah. 

“Kita di Sabah sudah biasa menyuarakan pandangan, termasuk demonstrasi jalanan, tetapi tidak pernah sampai ke tahap seperti ini.

“Kita boleh menyuarakan pandangan, termasuk menentang rasuah, isu bekalan air, elektrik dan jalan rosak, tetapi ia perlu dilakukan dengan adab dan penuh tanggungjawab,” katanya.

Mustapha turut menggesa pihak berkuasa termasuk polis dan institusi pengajian tinggi menjalankan siasatan menyeluruh terhadap insiden itu, selain menyeru agar mesej kesedaran disampaikan kepada generasi muda supaya tidak terbabas dalam menyuarakan pendapat mereka.

Menyentuh persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Mustapha berkata PKR menyasarkan sekurang-kurangnya 13 kerusi dan rundingan dengan Barisan Nasional sedang giat dijalankan bagi mengelakkan pertindihan calon.

“Rundingan masih berjalan dan kita cuba capai persefahaman bersama, bukan sahaja dari segi pembahagian kerusi tetapi juga dasar-dasar pembangunan negeri.

“Kita juga terbuka untuk berbincang dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) untuk mencapai kesepakatan yang memihak kepada kestabilan politik negeri serta negara,” katanya.

Beliau berkata matlamat utama PKR adalah kestabilan politik Sabah yang menjadi asas kepada tadbir urus berkesan serta pembangunan berterusan di negeri ini.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama