Seorang maut, lapan cedera van terbabas di Jalan Bukit Ular Lahad Datu-Kunak

Foto ihsan Bomba

KUNAK: Seorang lelaki warga emas maut manakala lapan lagi cedera selepas van yang dinaiki mereka terbabas sendiri ke bahu jalan di Jalan Bukit Ular, Kunak–Lahad Datu, pagi tadi.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak, Mohammad Omarbatha, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.19 pagi menerusi talian MERS999 sebelum menggerakkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak ke lokasi kejadian sejauh 40 kilometer.

Jentera pertama tiba di lokasi pada jam 7.50 pagi sebelum mendapati terdapat sembilan mangsa terlibat dalam kemalangan tersebut.

Jelasnya, seorang mangsa, lelaki berusia 74 tahun, ditemui tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.

"Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas Hydraulic Power Unit sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, lapan lagi mangsa yang cedera diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS JBPM dan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebelum dihantar ke hospital menggunakan ambulans dan jentera EMRS bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.09 pagi selepas kawasan disahkan selamat dan tiada risiko lain di lokasi kejadian.





Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama