![]() |
Jennitah ketika ditemui media. |
KOTA KINABALU : Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah terus memperkukuh usaha melestarikan bahasa sukuan menerusi kerjasama strategik dengan persatuan-persatuan etnik di negeri ini.
Pengarahnya, Jennitah Noordin berkata, inisiatif tersebut dilaksanakan bagi menerbitkan kamus bahasa sukuan, sekali gus memastikan khazanah linguistik etnik Sabah dapat dipelihara dan didokumentasikan secara sistematik.
“Selain memartabatkan bahasa dan sastera kebangsaan, DBP turut dipertanggungjawabkan untuk melestarikan bahasa sukuan.
“Ketika ini, kami bekerjasama dengan persatuan etnik yang mempunyai autoriti dalam hal berkaitan bahasa sukuan,” katanya ketika ditemui semasa majlis Gema Puisi Nan Abadi di sini, pada Sabtu.
Menurut Jennitah, kerjasama tersebut membolehkan DBP mendapatkan kepakaran persatuan etnik dalam usaha membina kamus serta mengumpulkan kosa kata dan istilah untuk diselaraskan ke dalam bahasa kebangsaan.
“Peranan persatuan etnik amat besar dalam usaha ini dan turut dibantu oleh Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah yang menyokong gerak kerja penyelidikan dalam bidang bahasa etnik,” ujarnya.
Tambah beliau, DBP menyeru lebih banyak persatuan etnik tampil menyertai usaha memperkaya dan memperkenalkan bahasa sukuan di peringkat lebih luas termasuk antarabangsa.
Setakat ini, katanya, DBP telah menerbitkan Kamus Murut Tahol, manakala Kamus Dumpas dan Kamus Lundayeh dijangka siap untuk diterbitkan tahun hadapan.
“Selain itu, terdapat juga persatuan etnik yang menerbitkan kamus dan daftar kata secara sendiri, dan ini merupakan satu usaha yang sangat baik.
“Namun begitu, DBP menggalakkan agar kerjasama dapat dijalin dalam usaha pembinaan kamus supaya penyebaran bahasa sukuan lebih meluas. Persatuan yang terlibat juga akan menerima bayaran royalti,” jelasnya.
Majlis berkenaan dihadiri kira-kira 650 pengunjung dan diserikan dengan deklamasi sajak serta puisi oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Sasterawan Negara, Datuk Dr. Anwar Ridhwan; dan Datuk Dr. Zurinah Hassan.
Turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif serta Pengarah DBP Malaysia, Dr. Hazami Jahari.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)