REMBAU: Barisan Nasional (BN) perlu kembali menjadi parti dominan di Sabah dengan memenangi jumlah kerusi mencukupi pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.
Memetik sumber Berita Harian, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata gabungan itu sedang berusaha membentuk strategi rundingan terbaik bagi memastikan kemenangan dan kelangsungan pentadbiran BN di negeri berkenaan.
“Buat masa ini kita (BN) perlu runding elok-elok. Kalau boleh, BN ingin menang semua kerusi yang diperuntukkan kepada kita.
"Ini akan membolehkan BN kembali dominan dan dapat mentadbir Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Kaum Ibu Penajis, di sini, hari ini.
Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO menegaskan, walaupun BN menyasarkan untuk kembali memimpin Sabah, kerjasama strategik dengan Pakatan Harapan (PH) dan parti tempatan lain tetap diperlukan.
Katanya, pembentukan gabungan utama atau ‘core group’ membabitkan BN dan PH sedang dirancang sebelum rundingan dengan parti-parti tempatan diteruskan.
“Kita buat ‘core group’ dulu iaitu BN dan PH, dan kemudian runding dengan mana-mana parti tempatan yang boleh dijadikan rakan untuk mengharungi PRN Sabah,” katanya.
Menurutnya, rundingan pembahagian kerusi antara BN dan PH juga sedang berjalan bagi mengelak sebarang pertindihan yang boleh menjejaskan peluang kemenangan.
“Berapa BN nak kerusi, berapa PH nak dan ambil kira juga rakan yang akan menjadi atau pihak ketiga yang akan jadi rakan dalam gabungan nanti. Jadi, ini sedang kita rundingkan di antara BN dan PH,” katanya lagi.