Semua sgensi KKDW wajib jana keuntungan dalam tempoh setahun: Zahid


KOTA KINABALU: Semua agensi dan anak syarikat di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) diwajibkan menjana keuntungan dalam tempoh setahun.

Menterinya, Datuk Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu antara ‘game changer’ baharu yang diperkenalkan bagi memastikan KKDW kekal dinamik dan berdaya saing.

"Kita mesti melakukan sesuatu yang luar biasa dalam keadaan biasa. Semua agensi dan anak syarikat diwajibkan memperoleh keuntungan.

"Mana-mana yang tidak ada untung boleh dilaksanakan melalui management buyout (MBO) atau ditutup. Kita hanya beri tempoh satu tahun," katanya sewaktu sidang media di Program Pemerkasaan Usahawan Wanita di SICC hari ini.

Beliau turut menegaskan penetapan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang munasabah perlu ditentukan bagi setiap agensi mengikut bidang tumpuan masing-masing.

Katanya, pemantauan berterusan terhadap pencapaian dan sasaran yang ditetapkan juga akan dilaksanakan dari semasa ke semasa.

Selain itu, pendekatan turun padang serta pengukuhan bidang pendidikan turut menjadi antara pemacu transformasi di bawah KKDW.

Zahid berkata, antara inisiatif utama yang digerakkan adalah program Ulul Albab, yang bukan sahaja menumpukan kepada kecemerlangan akademik, malah membina sahsiah dan jati diri golongan muda di luar bandar.

"Program Ulul Albab adalah contoh transformasi pendidikan yang kita bawa ke kawasan desa. Ia menggabungkan ilmu akademik, Al-Quran dan kemahiran kepimpinan.

"Kita mahu melahirkan generasi luar bandar yang berdaya saing, berilmu dan berintegriti," katanya.

Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kejayaan pelaksanaan semua inisiatif ini bergantung kepada komitmen dan sokongan semua peringkat, termasuk pegawai pelaksana serta masyarakat luar bandar.






Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama