![]() |
Zambry ketika ditemui pemberita selepas sesi soal jawab bersama pelajar-pelajar di Dewan Canselor UMS, hari ini. |
KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta agar pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang terlibat dalam perhimpunan Gempur Rasuah Sabah 2.0, pada Sabtu tidak dikenakan tindakan drastik seperti dibuang daripada meneruskan pengajian.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata demikian bagi menyampaikan keprihatinan Perdana Menteri yang ingin memastikan masa depan mereka tidak terjejas.
"Beliau mahukan pelajar-pelajar ini dapat menghabiskan pengajian mereka dan mencapai segulung ijazah yang menjadi penentu masa depan mereka," katanya.
Zambry berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi soal jawab bersama pelajar-pelajar yang disertai daripada beberapa IPTA dan IPTS dalam Program In Person with Doc Zam di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (Pejabat Perdana Menteri Negeri Sabah), Datin Shonitah Terang, Naib Canselor UMS, Datuk Dr Kasim Mansor dan Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
Sementara itu, beliau turut berkata walaupun seorang individu mempunyai hak dalam menyuarakan pendapat, namun setiap tindakan yang dilakukan perlu mengambil kira cara dan tatatertib yang sopan dalam menghormati pemimpin.
“Walaupun mungkin ada perbezaan tetapi cara dan langkah yang dibuat begitu perlu dilihat supaya perubatan-perubatan yang tidak mengikut tatasusila dan tatacara yang baik ini hendaklah diperbaiki,” jelas beliau.
Dalam pada itu, melalui sesi soal jawab yang dilaksanakan bersama pelajar, beliau turut menegaskan bahawa isu bekalan air yang dihadapi memerlukan kerjasama erat antara pihak universiti dan kerajaan negeri bagi memastikan masalah ini dapat diselesaikan dengan segera.
“Kerana ia memerlukan kerjasama antara pihak universiti termasuklah dengan kerajaan negeri secara laku pembekal air utama,” tambahnya.