![]() |
Jasmin menunjukkan dadah yang dirampas. |
TAWAU: Tindakan nekad dan berani seorang lelaki warga asing membawa lebih 3 kilogram syabu bernilai RM105,000 secara terbuka sebelum dicekup polis dalam satu operasi di jalan masuk Kampung Indrasabah, di sini, Jumaat lalu.
Suspek yang berusia lingkungan 30-an dan bekerja sebagai nelayan itu dikesan membawa sebuah beg galas kelabu bertulis “Onestop” dipercayai berisi dadah berbahaya, ketika berjalan di kawasan berkenaan kira-kira jam 3.30 petang.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau yang menerima maklumat awam segera bertindak dan menghampiri suspek.
“Sebaik menyedari kehadiran polis, suspek berkelakuan agresif dan cuba melarikan diri, namun sempat mencampakkan beg galas yang dibawanya ke atas tanah,”
"Pemeriksaan ke atas beg tersebut menemui tiga bungkusan teh jenama Guanyinwang berwarna hijau, yang mengandungi paket lutsinar berisi bahan disyaki syabu dengan anggaran berat 3,085.64 gram," katanya pada sidang media di IPD Tawau di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Jasmin berkata ujian saringan awal juga mendapati suspek positif methamphetamine dan amphetamine, selain tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Katanya, suspek kini direman tujuh hari hingga 28 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.