Maritim Malaysia gagalkan cubaan seludup keluar 7 tan beras, 510 kg minyak masak

Suspek bersama barang rampasan dianggarkan bernilai lebih RM300,000 di bawa ke Jeti Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut. Nstp / Ihsan Maritim Malaysia.

TAWAU: Cubaan sebuah bot kargo menyeludup keluar kira-kira tujuh tan beras dan barang kawalan tanpa dokumen sah gagal apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di kawasan perairan di sini, awal pagi semalam (Selasa)

Bot berkenaan dikesan bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan Ops Pluto Timur, Ops Sejahtera dan Ops Tiris kira-kira 0.75 batu nautika selatan Kuala Sungai Tawau, ketika bergerak dari kawasan Batu Tiga menuju ke Pulau Sebatik kira-kira jam 4.20 pagi.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, pemeriksaan awal mendapati bot dikendalikan seorang juragan lelaki tempatan berusia 20 tahun dengan dokumen pengenalan diri yang meragukan.

Beliau berkata, turut berada dalam bot ialah seorang lelaki yang memegang pasport warga Indonesia berumur 25 tahun, tanpa permit kerja yang sah.

“Siasatan awal mendapati juragan terbabit gagal mengemukakan permit barang kawalan serta dokumen pengikraran kastam untuk membawa kesemua muatan berkenaan ke Pulau Sebatik.

"Hasil pemeriksaan lanjut kemudiannya menemui 700 kampit beras keseluruhan seberat 7000 kilogram serta 30 kotak minyak masak peket seberat 510 kilogram dalam ruang bot kargo berkenaan," katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini.

Mengulas lanjut Ariffin berkata nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dan enjin dianggarkan hampir RM300,000 dan pihak percaya kesemua barangan berkenaan disyaki cuba diseludup keluar untuk dijual dan dipasarkan di negara jiran.

"Kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kawalan Padi dan Beras 1994, Akta Kastam 1967, Akta Imigresen 1959/63 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002.

"Selain itu, siasatan turut menjurus kepada aktiviti penyeludupan ke negara jiran susulan beberapa klip video tular berkaitan rampasan barangan Malaysia oleh pihak berkuasa luar negara," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama