![]() |
Armizan (kiri) dan Wee (kanan) |
Ahli Parlimen Papar itu berkata undang-undang yang dirujuk oleh pihaknya berkenaan isu terbabit adalah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 (PPKB).
Walau bagaimanapun, undang-undang yang diulas secara panjang oleh Ka Siong sehingga menuduhnya berbohong adalah Akta Kawalan Bekalan (Pindaan) 2022 (Akta A1652).
"Dalam sidang media pada 5 Jun 2025 secara jelas saya sebut Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 - PPKB (Pindaan) 2021. Dalam sidang yang sama, kenyataan media telah diedarkan.
"Undang-undang yang Presiden MCA ulas panjang lebar hari ini (semalam) pula adalah Akta Kawalan Bekalan (Pindaan) 2022 (Akta A1652). Memang tidak jumpa peruntukan undang-undang yang saya maksudkan sebab saya sebut A, beliau rujuk Z.
"Apapun, saya fikir perlu ucapkan tahniah kepada Presiden MCA sebab dalam ‘posisi’ sekarang beliau lebih cakna sebagai ‘jurucakap rakyat’ berbanding dulu.
"Saya fikir kiranya aura ‘jurucakap rakyat’ itu muncul lebih awal ketika beliau menjadi Menteri, beliau dan partinya pasti akan membuat bantahan lebih awal pada tahun 2021 dan bukannya tahun 2025," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan.
Dalam pada itu, Armizan turut mengulangi bahawa pada tahun 2021, KPDNHEP (ketika itu) telah menggubal PPKB (Pindaan) 2021, menguat kuasakannya pada 15 Oktober 2021 dan sekaligus diwartakan sebagai Warta Kerajaan Persekutuan yang boleh diakses oleh awam.
"Saya tidak kisah Presiden MCA tuduh saya bohong. Orang politik jangan cepat koyak. Cuma saya merayu janganlah kelirukan rakyat dengan rujukan kepada undang-undang yang saya tidak sebut.
"Ya benar saya Ahli Parlimen penggal pertama, dan Presiden MCA sudah berpenggal-penggal di Dewan Rakyat dan lama sebagai Anggota Pentadbiran. Memang lebih jauh berpengalaman.
"Namun, dalam ceteknya pengalaman saya berbanding Presiden MCA, saya tetap berpegang dan merujuk kepada punca kuasa perundangan yang ada. Lebih penting lagi saya tidak akan cuba mengelirukan rakyat dengan kenyataan-kenyataan yang tidak bertanggungjawab.
"Menuduh saya memetik punca kuasa perundangan yang tidak wujud bukan cerminan kepada saratnya pengalaman dan kebijaksanaan Presiden MCA yang sempat saya kenali dahulu," katanya.