Polis buru pemandu langgar lelaki sedang berjoging di Tawau

Tangkap layar dan rakaman cctv kejadian.

TAWAU : Polis sedang giat mengesan pemandu sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang melanggar seorang lelaki ketika sedang berjoging di Batu 3, Jalan Apas, di sini, awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata dalam kejadian kira-kira 3.50 pagi itu, mangsa berusia 34 tahun bersama kira-kira 20 individu lain sedang berjoging dari sebuah restoran makanan segera menuju ke Bandar Seri Indah, dekat sini.

“Siasatan awal mendapati mangsa bersama dua rakannya berada di hadapan kumpulan dan berada di sebelah kanan jalan sebelum dirempuh dari arah belakang oleh sebuah Toyota Hilux berwarna 'bronze mica' yang nombor pendaftarannya belum dikenal pasti.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke dalam parit konkrit di tepi jalan dan mengalami kecederaan di kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jasmin berkata mangsa kini sedang menerima rawatan di Wad Pembedahan Lelaki, Hospital Besar Tawau dan keadaannya dilaporkan stabil.

Jelas beliau lagi, pemandu kenderaan terbabit telah melarikan diri dari tempat kejadian dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Joan Lee di talian 019-8537100 bagi membantu siasatan,” katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama