Jangan mudah terpengaruh dengan 'Professor 2 Minit' di laman media sosial

Razali (kanan) ketika menerima cenderahati semasa Persidangan Bahagian Gagasan Rakyat Api-Api bertempat di Hotel 7, di sini. 

KOTA KINABALU: Orang ramai khususnya golongan muda diingatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan maklumat disebarkan oleh pempengaruh yang digelar sebagai ‘Professor 2 Minit’ di mana-mana platform media sosial.

Setiausaha Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Mohamed Razali Mohamed Razi berkata, trend semasa memperlihatkan ramai yang lebih gemar mempercayai kandungan video pendek tanpa menyemak kesahihan fakta.

Katanya, trend terbabit juga turut membuka ruang kepada penularan maklumat tidak tepat khususnya berkaitan politik, agama, dan kesihatan.

"Sekarang ini menjadi satu trend. Tapi apa yang penting, pempengaruh-pempengaruh ini tidak berada di lapangan, beza dengan orang politik seperti kami yang turun padang, mendengar, melihat dan mengambil tindakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Bahagian Gagasan Rakyat Api-Api bertempat di Hotel 7, di sini, semalam.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan budaya membuat kenyataan hanya untuk meraih populariti atau pengikut di media sosial perlu dibendung dan setiap individu bertanggungjawab ke atas apa yang mereka sebarkan.

“Ini bukan soal populariti tapi yang penting, fakta itu perlu tepat. Apa yang benar kita maklumkan, apa yang tidak betul jangan digembar-gemburkan,” katanya.

Razali turut mengingatkan bahawa pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penyebar maklumat tidak sahih disamping memberi amaran bahawa ramai yang mungkin disaman jika tindakan itu diambil secara menyeluruh.

“Jangan sebab dua minit kita terpengaruh dan diracuni oleh fakta yang tidak sahih,” katanya.

Razali turut menasihatkan masyarakat agar rajin mencari ilmu dan tidak mengamalkan jalan pintas dalam memahami sesuatu isu.

“Kalau kita amal ilmu shortcut, bukan saja kita boleh sesat dalam fakta politik, tapi juga dalam ibadah, hukum halal haram dan juga soal medikal. Jadi kena rajin cari ilmu, bukan hanya percaya pada video dua minit,” katanya.

Menurutnya,  gelombang penyebaran maklumat separa benar di media sosial semakin meningkat khusus menjelang ambang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) oleh beberala individu tidak bertanggungjawab dan cuba mengelirukan rakyat dengan fakta tidak benar.





Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama